Monday, July 1, 2019

Menggunakan Perangkap Minyak Boleh Membantu Alam Sekitar Kita Bersih

Pembuangan bahan domestik telah mengganggu keseimbangan semula jadi serta menimbulkan pelbagai masalah kepada dunia. Bahan domestik wujud daripada pembuangan sisa buangan dari kilang seperti minyak, sisa toksid dan sisa-sisa kilang. Aktiviti tidak bertanggungjawab ini boleh mencemarkan air, tanah dan udara. Bahan toksik adalah sejenis pencemaran berbentuk kimia yang mengugat kehidupan akuatik. Pencemaran boleh menyebabkan berlakunya pengurangan kadar oksigen di dalam air dan mengancam hidupan akuatik.



Sisa minyak adalah salah satu aliran buangan yang ditetapkan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) 2005. Walaupun ianya adalah sisa tetapi masih mempunyai nilai ekonomi, oleh itu ia menggalakkan pembinaan loji pemulihan untuk memproses sisa minyak menjadi produk siap seperti minyak bahan api, minyak pelincir, minyak hidraulik, minyak asas dan lain-lain.

Sisa minyak disenaraikan sebagai kod A4060 di bawah Lampiran VIII, Senarai A Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Sempadan Khas Bahan Buangan dan Pelupusannya 1989. Malaysia adalah salah satu Ahli dalam Konvensyen Basel, pengimportan dan pengeksportan bahan buangan mestilah mengikut prosedur Konvensyen. Pengimportan atau pengeksportan bahan buangan memerlukan kelulusan bertulis terlebih dahulu dari Jabatan Alam Sekitar sebagaimana yang termaktub di bawah Seksyen 34B (1) (b) & (c), Akta Kualiti Alam Sekitar, 1974. Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini boleh disabit dan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit.


Kilang-kilang di Malaysia kebanyakkannya dibina di sepanjang sungai bagi memudahkan mereka membuang bahan-bahan buangan terus ke dalam sungai. Antaranya adalah kilang memproses getah dan minyak kelapa sawit yang menjadi punca kepada pencemaran air sepanjang sungai di Malaysia. Sisa toksik dibuang dan dialirkan ke dalam longkang, parit, terusan dan seterusnya ke dalam sungai. Ada laporan mengatakan bahawa, pemandangan dari udara yang bertempat di Sungai Juru yang terletak di Seberang Perai, Pulau Pinang telah menunjukkan warna air yang berwarna hitam pekat apabila sampai ke laut.


Oleh yang demikian, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) diberi peranan oleh NRE untuk mengambil tindakan bagi mensyaratkan semua premis makanan dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memasang sistem perangkap minyak atau sistem penapis sisa manakan (food, oil dan grease, FOG) untuk menghalang sisa makanan, minyak dan gris disalurkan terus memasuki sungai dan mencemarkannya. Pelaksanaan program Pencegahan Pencemaran dan Peningkatan Kualiti Air Sungai adalah untuk mempertingkatkan kualiti air sungai serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang melakukan kesalahan mencemarkan sungai, sekiranya disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 25(3)  Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, iaitu denda tidak lebih daripada seratus ribu ringgit atau penjara untuk tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali. Denda tambahan juga pada kadar tidak lebih daripada seribu ringgit boleh dikenakan bagi tiap-tiap hari kesalahan yang diteruskan selepas suatu notis yang menghendakinya menghentikan perbuatan tersebut dikeluarkan kepada pesalah.


Malaysia adalah sebuah negara yang mencapai kemajuan dengan kepelbagaian aktiviti ekonomi yang dijalankan. Dalam mengejar kemajuan ini, kita tidak menyedari kesan-kesan yang berlaku terhadap alam sekitar turut menjejaskan kehidupan manusia, tumbuhan dan haiwan. Akibat daripada aktiviti manusia yang membuang sisa toksid ke merata tempat telah menyebabkan pencemaran alam sekitar. Selain daripada itu, ia turut memberi perubahan kepada iklim dunia serta meningkatkan kadar suhu dunia. 


Keadaan ini harus ditangani dengan segera agar masalah ini dapat diatasi secepat yang mungkin kerana ia menjejaskan keindahan semula jadi yang akan menjejaskan industri pelancongan negara kita. Dengan ini dapat dijelaskan bahawa pembuangan toksik, sisa buangan dari kilang khususnya memberi pelbagai kesan yang buruk kepada alam sekitar. Oleh itu, sama-samalah kita memelihara dan memulihara alam sekitar agar tidak tercemar demi untuk generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment